Amiridzwan berharap tunggakan gaji akan selesai. FOTO fail NSTP
Amiridzwan berharap tunggakan gaji akan selesai. FOTO fail NSTP
Firdaus Hashim


"PENGURUSAN Kelantan tolonglah bertimbang rasa dan berhati perut bayar gaji kami untuk persiapan bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tak lama lagi".

Demikian rintihan yang diluahkan bekas pemain skuad The Red Warriors musim lalu, Amiridzwan Taj Tajuddin apabila menyeru agar Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) segera melunaskan tunggakan gaji bagi meringankan beban keluarganya menjelang sambutan bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri pada 5 Jun ini.

Menurut bekas pemain pertahanan kebangsaan itu, KAFA langsung tidak menghubunginya bagi menjelaskan cara pembayaran gaji berkenaan yang sudah tertangguh hampir setahun.

"Kelantan ada tunggakan dengan saya selama lapan bulan. Harap dia orang fikir sikit tentang saya dan rakan-rakan sepasukan lain kerana tunggakan itu dah lama sangat, nak masuk setahun pun.

"Daripada gaji tunggakan bulan empat tahun lalu sampai sekarang mereka (KAFA) tak nampak ada tanda-tanda nak bayar.

Harap pengurusan Kelantan fikirlah secara logik.

"Mohon sangat mereka bertimbang rasa dengan kami yang nak pakai duit, komitmen pun banyak, nak Raya lagi, nak puasa lagi, harap ada perikemanusiaan sikit," katanya ketika dihubungi semalam.

Selain hutang dengan KAFA, Taj juga memohon kepada kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang diterajui kini oleh Presiden, Zainuddin Osman bagi menyelesaikan masalah sama tunggakan gaji untuk musim ini.

"PFA (kepimpinan lama) pun tak buat apa-apa untuk selesaikan tunggakan gaji sejak bulan 12 lalu hingga bulan dua.

"Sekarang PFA dah buat perlantikan baru, jadi saya harap barisan exco yang baru dilantik itu dapat ambil penyelesaian untuk selesaikan masalah-masalah tunggakan gaji ini," katanya yang mula menyertai Perlis pada penghujung musim lalu.

Untuk rekod, penyertaan Perlis dibatalkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Februari lalu selepas gagal mengemukakan dokumen kewangan bagi mengharungi aksi liga sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 4:52 PM