Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman
Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Baki tunggakan hutang membabitkan 11 bekas pemain Kelantan adalah di bawah tanggungjawab Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan bukannya Kelantan FC.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, tunggakan keseluruhan berjumlah RM187,778.92 sememangnya perlu dilunaskan oleh pihaknya, namun buat masa ini KAFA tidak mampu menyelesaikan hutang itu.

Katanya, masalah terbabit sudah dimaklumkan kepada 11 pemain berkenaan yang memahami situasi itu.

"Tunggakan gaji 11 pemain yang tinggal itu memang di bawah KAFA dan kami yang kena jelaskan kerana mengikut perjanjian dengan Kelantan FC, tunggakan akan diuruskan pengurusan lama.

"Tak ada isu untuk pemain tuntut dengan Kelantan FC. Perkara ini sudah jelas, malah difahami bekas pemain berkenaan.

"Tapi kita tidak mempunyai duit buat masa ini dan kami sentiasa berusaha untuk cuba selesaikan segala hutang dan tunggakan itu kepada bekas pemain," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman naik berang apabila ada dikalangan bekas pemain The Red Warriors menuntut tunggakan gaji kepada pihaknya, sedangkan tonggak berkenaan adalah pemain lama di bawah pengurusan terdahulu.

Beliau berkata, semua hutang dalam perjanjian pengambil alihan pasukan itu yang berjumlah RM6.8 juta sudah diselesaikan oleh pihaknya.

Difahamkan, jumlah RM6.8 juta itu sudah digunakan KAFA untuk membayar tunggakan gaji tempatan dan import yang tampil membuat laporan kepada pihak Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Fifa.

Begitupun, selepas kesemua tunggakan hutang itu habis dilunaskan, secara tiba-tiba 11 pemain yang sebelum itu enggan membuat tuntutan tampil bersuara dan melaporkan secara rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 7:39 PM