PHIL Foden (kiri) meraikan gol pembukaan buat City.-FOTO AFP
PHIL Foden (kiri) meraikan gol pembukaan buat City.-FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Club Brugge 4-1 seterusnya menghampiri kelompok 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Skuad Pep Guardiola bangkit selepas dikejutkan dengan jaringan sendiri oleh John Stones selepas gol pembukaan dari Phil Foden di Stadium Etihad.

Riyad Mahrez kembali meletakkan City di depan pada babak kedua dan Raheem Sterling yang dimasukkan sebagai pemain gantian menamatkan kemarau jaringan sebelum Gabriel Jesus mengesahkan kemenangan.

City kini mendahului Kumpulan A dengan kelebihan satu mata mengatasi Paris Saint Germain selepas melakarkan kemenangan ketiga dari empat perlawanan.

Naib juara musim lalu itu kini lima mata mengatasi pasukan di kedudukan ketiga Brugge dan hanya memerlukan satu lagi mata dari dua perlawanan terakhir menentang PSG dan Leipzig untuk mara ke pusingan kalah mati.

"Kami memang berhak. Saya suka cara kami bermain. Selepas gol sendiri prestasi kami sedikit menurun tapi pada babak kedua, ia sangat baik," kata Guardiola.

"Apabila anda berada di Manchester City, anda sedar tiada siapa akan membantu. Apa saja yang perlu dilakukan, kami akan melakukannya.

"Semua gelaran yang saya pernah menang sebelum ini kerana saya berada di kelab besar. Jelas keinginan lebih tinggi (untuk menang bersama City).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 8:51 AM