GUARDIOLA (kanan) bersama Potter (kiri) selepas tamat perlawanan pusingan ketiga Piala FA. -FOTO AFP
GUARDIOLA (kanan) bersama Potter (kiri) selepas tamat perlawanan pusingan ketiga Piala FA. -FOTO AFP
AFP

Manchester: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola memberitahu pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly untuk tidak terus menghukum Graham Potter selepas City membelasah Blues 4-0 pada pusingan ketiga Piala FA.

Pasukan bermasalah Potter ditewaskan City buat kali kedua dalam tempoh empat hari dan harapan mereka untuk memenangi piala domestik musim ini berakhir dengan perit.

Disingkirkan daripada Piala Liga oleh City pada November dan tewas 0-1 kepada juara Liga Perdana itu Khamis lalu, musim penuh bermasalah Chelsea semakin bergelora.

Riyad Mahrez memulakan penguasaan dengan meledak gol menerusi sepakan percuma sebelum penalti dari Julian Alvarez dan gol dari Phil Foden menjadikan kedudukan 3-0 pada babak pertama.

Mahrez menyempurnakan kemenangan bergaya City apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk terus menyingkirkan Chelsea pada pusingan ketiga Piala FA buat kali pertama sejak 1998 selepas mereka menamatkan saingan sebagai naib juara sepanjang tiga tahun lalu.

Chelsea kini berada di kedudukan ke-10 Liga Perdana 10 mata di belakang empat pasukan teratas dengan Potter ini mula terasa bahang empat bulan selepas mengambil alih tugas Thomas Tuchel yang dipecat.

Bekas pengendali Brighton itu pasti terkesan dengan laungan penyokong Chelsea yang melaungkan nama Tuchel dan dengan sinis menjerit "shoot" setiap kali mereka mereka melakukan serangan.

Chelsea hanya menang tiga dari 12 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan tetapi Guardiola meminta bahawa Potter perlu diberi peluang oleh barisan pemilik The Blues untuk memberi Potter masa.

"Saya akan berkata kepada Todd Boehly untuk memberinya masa. Saya tahu di kelab besar, keputusan adalah penting tetapi saya akan katakan berilah dia masa," kata Guardiola.

"Apa yang dia lakukan di Brighton adalah luar biasa tetapi kami memerlukan masa pada musim pertama.

"Saya mempunyai (Lionel) Messi di Barcelona pada musim pertama jadi saya tidak memerlukan dua musim kerana Messi ada di sana."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 8:25 AM