PEMAIN tengah City Phil Foden (kanan) melakuakan sepakan kala jengking. FOTO/AFP
PEMAIN tengah City Phil Foden (kanan) melakuakan sepakan kala jengking. FOTO/AFP
Agensi

MANCHESTER: Manchester City mara ke pusingan keempat Piala FA selepas membelasah kelab Liga Kejuaraan, Rotherham 7-0 di Stadium Etihad.

Jaringan Raheem Sterling, Phil Foden dan gol sendiri Semi Ajayi meletakkan City tiga gol di depan sebaik babak pertama berakhir.

Pep Guardiola melakukan lapan pertukaran ke atas skuadnya yang menewaskan Liverpool Khamis lalu tetapi anak buahnya masih menampilkan kualiti dan pengalaman tinggi, dengan Kevin De Bruyne yang kembali cergas menunjukkan prestasi sebenarnya.

Sterling membuka jaringan pada minit ke-12 selepas bermain satu dua dengan De Bruyne dan Foden meledak gol kedua City pada minit ke-43. 

Ajayi yang cuba memintas hantaran lintang Kyle Walker tertampan bola ke gawang sendiri dan Gabriel Jesus meledak gol keempat City hasil gerakan pantas Sterling selepas rehat.

Kemasukan Leroy Sane menambah derita Rotherham, dan Guardiola turut mengambil kesempatan untuk memberikan penampilan sulung buat pemain muda Belanda Philippe Sandler.

Riyad Mahrez menyertai senarai penjaring selepas bermain satu dua  Ilkay Gundogan dan Nicolas Otamendi menanduk masuk sepakan sudut untuk gol keenam.

Sane melengkapkan kemenangan City lima minit sebelum tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 1:10 AM