DE Paula sering menerima kecaman. FOTO Agensi
DE Paula sering menerima kecaman. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan pengambilan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan bukannya satu perkara wajib atau perlu ada dalam membentuk barisan pemain negara.

Malah, Cheng Hoe turut menepis tuduhan menerima tekanan atau campur tangan pihak tertentu untuk menyenaraikan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan walaupun mereka dikatakan kurang minit perlawanan atau persembahan kurang meyakinkan.

Bekas pengendali Kedah itu berkata, pemain naturalisasi tidak mempunyai tempat istimewa dalam barisan Harimau Malaya selain mereka juga perlu melalui ujian atau pemilihan sama seperti individu lain.

Katanya, pemilihan pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme de Paula pada perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan baru-baru ini adalah untuk menguji kemampuannya berikutan ketika ini tiada penyerang tempatan berkebolehan mengisi posisi itu.

"Bagi saya semua pendapat dan kritikan ada betulnya kerana semua orang mahu lihat yang terbaik untuk skuad kebangsaan.

"Barisan kejurulatihan memilih pemain yang dilihat layak dan berkebolehan sekali gus tidak memberi keistimewaan kepada pemain naturalisasi atau meminggirkan pemain tempatan.

"Apa yang saya ingin katakan bahawa pemilihan pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan bukanlah satu perkara wajib dan ketika ini kita lebih melihat kepada kondisi serta keupayaan pemain itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Akhbar ini melaporkan bekas pemain kebangsaan, Datuk M Karathu mencadangkan supaya barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya 'menyenarai hitam' tonggak naturalisasi negara pada saingan Piala AFF yang akan berlangsung Disember ini.

Cadangan itu disuarakan selepas melihat tahap saingan Piala AFF seharusnya digunakan sebaiknya dengan mempertaruhkan pemain tempatan dan kacukan tanpa khidmat pemain naturalisasi.

Karathu, 77, yang berpengalaman luas sebagai jurulatih termasuk pernah mengendali pasukan kebangsaan Sri Lanka serta kelab Singapura, Woodlands Wellington FC menambah, gandingan pemain tempatan bersama tonggak kacukan sudah cukup bagi menyediakan sebuah pasukan mantap di Piala AFF nanti.

Mengulas lanjut Cheng Hoe berkata, beliau tidak berkecil hati atau patah semangat dengan kritikan serta komen daripada pihak tertentu yang mempersoalkan menyenaraikan de Paula ketika Malaysia dibelasah 0-4 dan 1-5 dalam dua perlawanan persahabatan baru-baru ini.

"Saya perlu berfikiran positif dan sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku termasuklah menerima kritikan pedas daripada pelbagai pihak apabila skuad kebangsaan tewas," katanya.

Selain de Paula, dua lagi pemain naturalisasi negara adalah Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 10:38 PM