JAMAL NASIR
JAMAL NASIR
Firdaus Hashim


KEUTAMAAN untuk mendapatkan pemain naturalisasi sepatutnya bertumpu kepada posisi penyerang tengah yang sekian lama menjadi menjadi kelemahan utama skuad bola sepak negara.

Ini terbukti berdasarkan statistik musim lalu sama ada dalam aksi persahabatan atau Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sebahagian besar gol disumbang oleh tonggak di posisi lain seperti pemain sayap, tengah dan pertahanan.

Pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid adalah penjaring terbanyak dengan enam gol diikuti Syafiq Ahmad (lima), Mohamadou Sumareh (empat), Shahrel Fikri (empat), Akhyar Rashid (tiga), Shahrul Saad (dua), Norshahrul Idlan Talaha (dua), Brendan Gan (satu) dan Corbin Ong (satu).

Daripada 28 gol yang dikumpulkan, sebanyak 65 peratus atau 17 gol daripada jumlah keseluruhan itu disumbangkan oleh pemain bukan daripada posisi penyerang.

Malah, biarpun dua penyerang iaitu Syafiq dan Shahrel masing-masing merekodkan lima dan empat gol, ia diraih menerusi aksi mudah berdepan lawan yang dianggap lemah seperti Sri Lanka dan Timor Leste.

Justeru, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir menasihatkan supaya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Program Naturalisasinya, memberi tumpuan khusus dengan mengesan pemain penyerang untuk dinaturalisasikan, sekali gus menghentikan pengambilan tonggak di bahagian lain.

"Masalah kita sebenarnya adalah penyerang. Buat apa nak ambik lagi pertahanan atau pemain tengah kerana saya yakin pemain tempatan atau pemain kacukan boleh mengisi di bahagian tengah dan pertahanan.

M KARATHU
M KARATHU

"Sebenarnya apa fokus FAM dengan membuka pintu naturalisasi? Adakah semata-mata nak cukupkan 11 pemain di atas padang semuanya naturalisasi, atau nak perkuatkan pasukan dengan membawa masuk pemain mengikut kelemahan posisi.

"Kita kena ingat, naturalisasi ini hanya program jangka pendek, jadi biar pemilihan pemain naturalisasi mengikut keperluan bukannya nak letak di semua bahagian. Ketumpulan jentera serangan adalah masalah utama, jadi bawalah masuk penyerang dan kalau boleh biarlah muda dan mampu menyumbang bakti yang lama kepada pasukan negara," katanya ketika dihubungi semalam.

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi bekas pemain dan jurulatih berpengalaman, Datuk M Karathu yang melihat skuad kendalian Tan Cheng Hoe memerlukan seorang penyerang prolifik untuk merobek benteng lawan.

Jelasnya, walaupun bola sepak moden mempunyai falsafah berbeza yang tidak lagi bergantung harap kepada penyerang untuk meraih gol, kehadiran pemain yang memiliki sentuhan berbisa mampu mengganggu fokus pihak lawan dalam perlawanan.

"Dalam bola sepak masa kini, memang dah berubah. Dulu penyerang adalah kunci kemenangan, tetapi sekarang dah berubah pemain di posisi lain pun boleh beri kemenangan kepada pasukan.

"Tetapi bagi saya, jika kita ada penyerang bagus, sekurang-kurangnya ia boleh menambah tekanan kepada pertahanan musuh yang mungkin perlu merantai pergerakan penyerang dan dalam situasi itu pemain lain boleh memanfaatkan untuk mencipta jaringan," kata Karathu.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya dilimpahi ramai pemain naturalisasi di bahagain tengah dan sayap seperti Sumareh dan Liridon Krasniqi dan ditambah beberapa pemain kacukan seperti Brendan, Corbin dan Matthew Davies, ia menyaksikan Cheng Hoe mempunyai pilihan yang cukup banyak di posisi tengah dan pertahanan.

Malah, dua calon baharu naturalisasi di bahagian pertahanan iaitu Harry Edge dan Marcel Kalonda bakal menambah senarai panjang Cheng Hoe untuk dipertaruhkan. Bagaimanapun, daripada nama-nama itu, hanya Guilherme de Paula beraksi di posisi penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:35 AM