JAMAL anggap kebanyakan pemain yang mewakili negara belum lagi mencapai tahap profesional yang ditetapkan. FOTO Arkib NSTP
JAMAL anggap kebanyakan pemain yang mewakili negara belum lagi mencapai tahap profesional yang ditetapkan. FOTO Arkib NSTP
Syazwan Msar

JIKA mahu kejayaan dalam waktu terdekat, khidmat pemain tempatan perlu 'dilupakan' seketika dalam membentuk skuad Harimau Malaya yang lebih mantap walaupun hanya posisi penjaga gol sahaja yang bukan digalas pemain berdarah kacukan atau naturalisasi.

Malah, ketika ini harapan menggunung diletakkan kepada pemain tempatan untuk mengemudi benteng dan serangan negara sering berakhir dengan kekecewaan sekali gus meranap impian Harimau Malaya mencipta kejayaan lebih gemilang di peringkat antarabangsa.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, beliau bukan mahu memperkecilkan kebolehan pemain tempatan namun kebanyakan pemain yang mewakili negara belum lagi mencapai tahap profesional yang ditetapkan.

Beliau berkata, ketika ini negara seperti Itali dan Perancis menggunakan lebih 80 peratus khidmat pemain berdarah kacukan dan naturalisasi bagi menguatkan skuad kebangsaan masing-masing hingga berjaya merangkul pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Pada masa sama, kita juga tidak boleh mengambil contoh negara seperti Korea Selatan dan Jepun kerana mereka mempunyai pemain tempatan berkualiti dan cukup profesional sekali gus mampu menggalas cabaran yang diberikan ketika mewakili negara.

"Sekarang ini, kita perlu terima hakikat bahawa pemain tempatan belum lagi layak mewakili negara dan jika mahu melihat kejayaan dalam waktu terdekat, gunakan khidmat individu kacukan atau naturalisasi.

"Perkara ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama membabitkan pemain tempatan dan peminat bola sepak tanah air namun apabila pasukan kita tewas nanti skuad Harimau Malaya juga dipersalahkan dan dikutuk corak permainan mereka," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, dalam aksi terakhir skuad negara pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menyaksikan tiga pemain kacukan iaitu Matthew Davies, Brendan Gan dan Corbin Ong berada dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Manakala, Mohamadou Sumareh adalah pemain berstatus naturalisasi yang pertama diberikan taraf kerakyatan dua tahun lalu.

Dua lagi pemain naturalisasi bakal menyusul mewakili negara iaitu Liridon Krasniqi dan De Paula yang kemungkinan akan menyarung jersi skuad kebangsaan hujung tahun ini.

Jika dua pemain kacukan yang beraksi di posisi pertahanan iaitu Harry Edge dan Marcel Kalonda dibenarkan beraksi untuk skuad negara sekali gus bakal menyaksikan sekurang-kurangnya lapan pemain kacukan serta naturalisasi beraksi untuk skuad kebangsaan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 6:25 AM