Pemain skuad Projek FAM-MSN cuba menghalang pemain PDRM FC (tengah) dalam saingan Liga Perdana semalam. FOTO Ihsan PDRM FC
Pemain skuad Projek FAM-MSN cuba menghalang pemain PDRM FC (tengah) dalam saingan Liga Perdana semalam. FOTO Ihsan PDRM FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sebaik aksi Liga Malaysia (Liga M) kembali bersambung pada 24 Julai, skuad Projek FAM-MSN menjadi antara pasukan yang kian pamerkan peningkatan ketara selepas harungi tiga perlawanan Liga Perdana.

Walaupun meraih satu mata dari tiga perlawanan namun sekurang-kurangnya mereka tidak lagi tewas dengan margin kekalahan yang besar apabila kecundang tipis kepada lawan selain berjaya mengikat PDRM FC dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, yang berlangsung semalam.

Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah, menjadi antara individu yang boleh menarik nafas lega terhadap perkembangan positif dipamerkan anak buahnya.

"Kami sangat bersyukur dengan keputusan berdepan PDRM, ternyata banyak peningkatan biarpun masih ada beberapa kelemahan yang kita masih perlu perbaiki.

"Apa yang positif boleh dilihat dalam kalangan pemain ialah kecergasan serta kekuatan fizikal mereka berada di tahap yang sangat baik, begitu juga dalam memahami taktikal yang diterapkan.

"Saya harap mereka mampu terus kekalkan prestasi yang sama seperti mana ditunjukkan dalam tiga perlawanan sebelum ini serta mampu berikan cabaran yang lebih baik kepada setiap pencabar yang kami akan temui selepas ini.

"Walaupun begitu, terdapat beberapa aspek seperti kawalan bola, pergerakan semasa permainan dan tahap penyudah yang dilihat masih di tahap sederhana, perkara ini harus kita perbaiki, " katanya.

Skuad Projek FAM-MSN menggunakan pemain yang berumur 20 tahun dari produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Setakat ini, mereka mencatat tiga keputusan seri dan masih mencari kemenangan sulung selepas 14 perlawanan di Liga Perdana dengan aksi seterusnya bertemu Negeri Sembilan FC, Rabu ini.

Dalam pada itu, Yusri tidak menafikan selaku jurulatih beliau mengharapkan satu atau dua kemenangan mampu dijelmakan oleh pemain-pemainnya dalam menghadapi baki saingan yang ada.

"Mana-mana jurulatih sudah tentu mengharapkan kemenangan tetapi dalam situasi sekarang, saya sedar laluan tidak semudah yang dijangka.

"Kami akan berdepan pasukan-pasukan yang lebih kuat, jadi semua pemain termasuk staf kejurulatihan kena bekerja keras jika mahu mencari kemenangan.

"Bermula dengan aksi Negeri Sembilan yang saya anggap calon utama ke Liga Super, perlawanan ini saya jangka akan berikan lebih cabaran kepada pemain-pemain jika mahu mencari kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:49 PM