PEMAIN tengah England, Phil Foden mungkin terlepas final Euro 2020 dengan Itali, esok kerana cedera kaki. FOTO AFP.
PEMAIN tengah England, Phil Foden mungkin terlepas final Euro 2020 dengan Itali, esok kerana cedera kaki. FOTO AFP.
Agensi

London: Jurulatih England, Gareth Southgate menyatakan Phil Foden mungkin terlepas final Euro 2020 menentang Itali di Wembley, esok, kerana kecederaan kaki.

Foden yang juga pemain tengah Manchester City dimasukkan sebagai pemain gantian ketika England menewaskan Denmark di separuh akhir, tetapi dia tidak berlatih semalam untuk mengelakkan keadaannya lebih teruk.

Pemain berusia 21 tahun itu bergelut untuk diturunkan menentang Itali iaitu perlawanan pertama England di final kejohanan utama dalam 55 tahun, tetapi Southgate berkata, dia mungkin tidak sempat pulih pada masanya.

"Keadaannya masih dalam tanda tanya," kata Southgate kepada BBC. "Kami perlu memeriksa semula dan dia hanya mengalami cedera kecil pada kaki.

"Tetapi kami perlu membuat keputusan sama ada dia sempat pulih sebelum perlawanan, pemeriksaan akan dibuat semula."

Foden antara pemain bintang yang membantu Manchester City menang Liga Perdana Inggeris, musim lalu.

Foden, 21, diturunkan dua kali dalam kesebelasan utama England ketika mereka menewaskan Croatia 1-0 dan seri tanpa jaringan dengan Scotland.

Dia kemudian direhatkan ketika menang 1-0 ke atas Republik Czech dan digantikan dengan Bukayo Saka, sebelum diturun menggantikan Mason Mount di separuh akhir menentang Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 1:02 AM