MESSI (kiri) cuba untuk melepasi halangan Garcia ketika aksi Copa del Rey. FOTO EPA
MESSI (kiri) cuba untuk melepasi halangan Garcia ketika aksi Copa del Rey. FOTO EPA
AFP

Madrid: Lionel Messi kembali daripada penggantungan dengan meledak jaringan dalam saingan Copa del Rey bagi membantu Barcelona melepasi halangan Rayo Vallecano untuk mara ke suku akhir.

Selepas Real Madrid dan Atletico sudah tersingkir, satu lagi kejutan hampir berlaku apabila Fran Garcia meletakkan Rayo di depan pada awal separuh masa kedua di Vallecas.

Bagaimanapun, Messi berjaya menyudahkan hantaran Antoine Griezmann untuk menyamakan kedudukan, sebelum Frenkie de Jong meledakkan gol kemenangan.

Kemenangan 2-1 itu meletakkan Barcelona sebagai calon terbaik bagi meraih kejuaraan buat kali ke-31.

Pengendali Barcelona, Ronald Koeman berasa lega selepas berjaya mara ke suku akhir dan melihat Messi kembali menjaringkan gol sekali gus mengumpul 15 jaringan sepanjang musim ini.

Koeman juga memuji De Jong dengan mengatakan pemain itu sudah menunjukkan peningkatan.

"Dia sekarang ini sudah menjadi pemain yang lengkap. Bagaimana dia bergerak dari bawah, kemampuan tiba di petak penalti pada waktu yang tepat berjaya membantu kami mencipta jaringan.

"Kami masih lagi bersaing dalam perebutan trofi ini dan memperbaiki kelemahan saingan liga. Kami harus terus berusaha," kata Koeman.

\

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 11:58 AM