PEMAIN Pasukan Media dan Pilihan UPM bergambar sebelum perlawanan persahabatan.
PEMAIN Pasukan Media dan Pilihan UPM bergambar sebelum perlawanan persahabatan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasukan Media memanfaatkan kehadiran Aidilfitri dengan menjalin silaturahim menerusi perlawanan sepak takraw persahabatan dengan Pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Sukan UPM, semalam.

Pasukan Media yang menggabungkan pengamal media dalam talian, agensi Kementerian Komunikasi, syarikat akhbar cetak dan artis bebas tewas empat regu dan seri satu pada perlawanan lebih dua jam itu.

Bagaimanapun, Pasukan Media tidak terlalu memburu keputusan perlawanan dalam sistem kiraan baharu 15 mata servis, apatah lagi pemainnya baru dibentuk dalam 'Reunion 11 Syawal' dan hanya menjalani dua sesi latihan mingguan selepas kali terakhir aktif pada 2015.

Pasukan diuruskan wartawan, Abdul Hafiz Ahmad dan mendapat khidmat nasihat legenda emas sepak takraw 1980-an dan 1990-an, Sha'ari Hashim jelas akur dengan tuan rumah yang diperkasa pemain Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Regu sulung Pasukan Media, Mohd Shuib Ab Latip (tekong), Taufik Al Hakim Ahmad Kosnan (perejam) dan Noorshafik Othman/Khairul Faizee Mahmod (pengumpan) kecundang 8-15, 9-15 kepada Pilihan UPM pimpinan Mohd Razizi Midin yang juga pengurus pasukan pelapis Malaysia B.

Regu kedua, Khairul Azra Ghazali, Nazizul Najhan Saarani dan Khairul Idlan Abd Razak turut dihampakan regu kedua tuan rumah 13-15, 12-15 malah semangat pantang menyerah Mohamed Syamsul Adlien Md Nazri, Taufik dan Noormanshah A Rahman tetap disekat lawan, 12-15, 12-15.

Shuib, Azra dan Idlan memenangi set pertama regu keempat, 17-16 namun Pilihan UPM cukup liat untuk dilenturkan lalu mengikat 1-1 dengan kemenangan set kedua, 15-10.

Regu kelima Pasukan Media - Faizee, Nazizul dan Noorshafik tewas kepada lawan lebih muda dan cergas selain bakal dipersiapkan ke Sukan Universiti Asean (AUG) dengan 9-15, 16-17.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 8:09 PM