KOEMAN dipecat selepas Barcelona tewas kepada Vallecano.
KOEMAN dipecat selepas Barcelona tewas kepada Vallecano.
AFP

Madrid: Barcelona memulakan kehidupan tanpa Ronald Koeman dengan menentang Alaves pada Ahad ini dan berusaha merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas sekali gus memulihkan keyakinan mereka menjelang kunjungan ke Dynamo Kiev dalam aksi Liga Juara-Juara.

Jurulatih Barca B, Sergi Barjuan akan mengendalikan tugas di Camp Nou selepas Koeman dipecat akibat tewas 0-1 kepada Rayo Vallecano di Vallecas.

Xavi Hernandez dilaporkan bakal menggantikan Koeman tetapi legenda kelab itu tidak mungkin hadir sebelum aksi hujung minggu ini.

Kepulangan semula Xavi ke kelab yang disertai ketika berusia 11 tahun dan meninggalkannya pada 2015 amat dinantikan pemain dan penyokong.

Barjuan mengendalikan sesi latihan hari ini dengan presiden Barcelona, Joan Laporta turut memberikan penerangan mengenai pemecatan Koeman dan menyemarakkan semangat pemain untuk bangkit semula.

"Kami semua dalam bot yang sama hari ini,'' kata Sergio Busquets. "Ia kesilapan semua orang. Baik atau buruk, kami tetap satu pasukan dan perlu tunjukkannya di atas padang."

Dua kemenangan dalam tujuh perlawanan liga meletakkan Barca di tangga kesembilan, enam mata di belakang Real Betis yang menduduki tangga keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 4:21 PM