DE Jong tidak dapat beraksi menentang Perancis. FOTO EPA
DE Jong tidak dapat beraksi menentang Perancis. FOTO EPA
AFP

The Hague: Belanda akan berdepan Perancis pada aksi kelayakan Euro 2024, Jumaat ini tanpa perancang, Frenkie de Jong atau pemain sayap, Steven Bergwijn kerana kecederaan, umum Persekutuan Bolasepak Belanda (KNVB), hari ini.

Tempat mereka diganti pemain PSV Eindhoven, Joey Veerman dan pemain Borussia Dortmund, Donyell Malen apabila Belanda berkunjung ke Stade de France pada Jumaat dan melayan Gibraltar di Rotterdam pada 27 Mac.

De Jong bermain 90 minit untuk Barca ketika menewaskan Real Madrid pada aksi El Clasico, Ahad lalu.

"Pemain Barcelona itu mengadu kesakitan di bahagian atas kaki selepas menentang Real Madrid dan tidak boleh beraksi untuk Oranje," kata KNVB dalam kenyataan mengenai De Jong, yang akan menjalani imbasan MRI.

"Bergwijn turut diketepikan kerana cedera lutut," kata kenyataan itu.

Dikenali sebagai perancang kreatif, ketiadaan De Jong akan menjejaskan jentera tengah pasukan, kata pengendali Belanda, Ronald Koeman.

Koeman menggantikan Louis van Gaal yang bersara selepas Piala Dunia Qatar 2022 dan ini adalah kali kedua dia membimbing skuad negara itu.

"Frenkie adalah pemain penting untuk pasukan. Dia memiliki kualiti yang bermakna untuk pasukan," kata Koeman pada sidang media.

"Bagaimanapun, ketiadaannya tidak bermakna saya akan mengubah sistem saya," kata Koeman yang lebih gemar formasi 4-3-3 berbanding 5-3-2 yang digunakan Van Gaal untuk Belanda layak ke suku akhir Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 9:38 AM