PEARLY-Thinaah berjaya elak tersingkir awal di India. FOTO ASWADI ALIAS
PEARLY-Thinaah berjaya elak tersingkir awal di India. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Gandingan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah berjaya mengubati luka di Terbuka Malaysia minggu lalu apabila berjaya mara ke pusingan kedua Terbuka India sebentar tadi.

Gandingan beregu nombor satu negara itu mempamerkan peningkatan mutu permainan selepas tersingkir seawal pusingan pertama di Arena Axiata minggu lalu, menundukkan gandingan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 21-12, 21-11.

Kemenangan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah kini mengungguli rekod pertemuan menentang lawan dari Taiwan itu dengan 2-1.

Menanti mereka di pusingan kedua adalah pilihan keempat kejohanan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun selepas menewaskan beregu India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela 18-21, 21-14, 21-13.

Turut mara ke pusingan kedua adalah beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Anny Xu-Kerry Xu.

Gandingan di ranking ke-36 dunia itu begitupun dikecewakan pada set pertama apabila tewas 11-21 namun berjaya bangkit pada set kedua 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum meraih kemenangan 21-13.

Dalam satu lagi perlawanan, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei ditunjuk jalan keluar oleh pemain Thailand Supanida Katethong 10-21, 14-21.

Manakala hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk tidak mengulangi episod yang sama di Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila sekali lagi tewas di pusingan pertama.

Wei Chong-Kai Wun ditunjuk jalan keluar oleh gandingan ketujuh dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking ke-18 dunia tewas 21-16, 15-21, 13-21 di tangan pemenang pemenang pingat gangsa di Kejohanan Dunia 2022 dan kekalahan itu secara tidak menamatkan perjalanan mereka di kejohanan berstatus Super750 berkenaan.

Pada tahun lalu, Wei Chong-Kai Wun pernah meraih gelaran di Terbukai Taiwan selain dua naib juara di Masters Malaysia dan Terbuka Arctic.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:33 PM