WOOI Yik (kiri) bersama Aaron mara ke suku akhir Masters Malaysia. FOTO FB BAM
WOOI Yik (kiri) bersama Aaron mara ke suku akhir Masters Malaysia. FOTO FB BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang di Masters Malaysia 2023 apabila layak ke suku akhir selepas menewaskan Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan, sebentar tadi.

Dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Axiata Arena itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan mudah mengenepikan lawan dari Korea Selatan itu, 21-19, 21-14.

"Hari ini kami lebih bersedia kerana baru bermain di Piala Sudirman (minggu lalu). Lawan kali ini memang 50-50 dan memang sengit pada set pertama.

"Bagi saya, siapa yang menang (set pertama), itu satu kelebihan untuk memasuki set kedua.

"Corak permainan kami pun baik dan sentiasa menyerang dan dapat melakukan semuanya. Saya harap dapat mengekalkan momentum itu (untuk perlawanan seterusnya)," kata Wooi Yik selepas perlawanan.

Kemenangan itu secara tidak langsung menjadikan rekod mereka 2-0 dengan kali terakhir Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 menumpaskan pasangan berkenaan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) pada 2020.

Di suku akhir esok, Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kedua dunia dijadual bertemu sama ada pilihan kelapan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin atau gandingan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong.

Turut mengikuti jejak Aaron-Wooi Yik adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan gandingan dari Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 19-21, 21-16, 21-13.

Wei Chong-Kai Wun dijadual bertemu sama ada pilihan ketiga dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang menumpaskan beregu Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-17, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 8:04 PM