WEI Chong dan Kai Wun bergelut dengan prestasi dalam tiga kejohanan terakhir disertai mereka.
WEI Chong dan Kai Wun bergelut dengan prestasi dalam tiga kejohanan terakhir disertai mereka.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penampilan sulung di Kejohanan Badminton Dunia Copenhagen, Denmark dari 21 hingga 27 Ogos ini mahu dipahat dengan keputusan meyakinkan buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan impian berkenaan mereka berharap dapat mengembalikan prestasi terbaik seperti di Masters Malaysia 2023.

Wei Chong-Kai Wun mencipta kejutan apabila mara sehingga final Masters Malaysia, Mei lalu sebelum tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae untuk berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Menurut Kai Wun, biarpun mereka berjaya menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan di pentas final ketika menjuarai Terbuka Taiwan, namun prestasi di Masters Malaysia adalah yang terbaik setakat ini.

"Jika dapat menampilkan prestasi seperti Masters Malaysia, kami berpeluang untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir di Copenhagen," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

Ujar Kai Wun, dia mengakui prestasi di Masters Malaysia lebih bagus kerana ada banyak beregu 10 teratas dunia yang mengambil bahagian.

"Diharapkan, kami boleh mengulangi prestasi itu. Kalau dapat bermain seperti di Masters Malaysia, mungkin boleh pergi jauh di Kejohanan Dunia seperti suku akhir atau separuh akhir," katanya.

Wei Chong-Kai Wun yang mendapat tiket beraksi di Kejohanan Dunia pada saat akhir susulan penarikan diri pasangan negara lain dan akan membuka tirai saingan menentang beregu Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar di pusingan pertama.

Sejak menjuarai Terbuka Taiwan, Wei Chong-Kai Wun bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tersingkir di pusingan pertama dalam tiga kejohanan terakhir mereka iaitu Terbuka Korea, Jepun dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 4:33 PM