TZE Yong mudah menewaskan Tsuneyama di pusingan kedua Terbuka Hong Kong, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
TZE Yong mudah menewaskan Tsuneyama di pusingan kedua Terbuka Hong Kong, hari ini. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mempamerkan aksi mengagumkan apabila menundukkan lawan dari Jepun, Kanta Tsuneyama untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Hong Kong.

Dalam aksi di pusingan kedua di Hong Kong Coliseum itu, Tze Yong hanya memerlukan masa 41 minit untuk menjinakkan Tsuneyama 21-12, 21-11.

Tze Yong mula menguasai perlawanan selepas terikat di kedudukan tiga sama di set pertama.

Pemain berusia 23 tahun yang pernah mengejutkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dan HS Prannoy (India) tahun ini, dijangka berdepan sama ada Magnus Johannesen dari Denmark atau Wang Tzu Wei di suku akhir, esok.

Semalam, Tze Yong meneruskan kejutan tahun ini apabila menumbangkan pilihan kelima dan bekas pemain nombor dua dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen pada pusingan pertama.

Turut mengiringi Tze Yong ke suku akhir beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Bekas juara Terbuka Jerman itu melakar kemenangan ke atas pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-13, 21-15.

Menanti Sze Fei-Izzuddin di suku akhir adalah satu lagi beregu Taiwan, Lee Yang- Wang Chi-Lin yang menewaskan lawan dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol, 21-17, 21-9.

Turut mara ke suku akhir adalah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Pearly-Thinaah menundukkan rakan sepasukan Anna Ching-Teoh Mei Xing, 21-17, 21-10 manakala Jin Wei meraih kemenangan percuma selepas bekas pemain nombor satu dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon menarik diri.

Pearly-Thinaah selepas ini akan membuat perhitungan dengan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di suku akhir dan Jin Wei akan bertemu pilihan keenam dari China, Han Yue.

Pasangan negara itu dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke separuh akhir apabila mempunyai rekod cemerlang ke atas beregu Thailand itu yang akan menjadi lawan mereka pada aksi suku akhir.

Sementara itu jurulatih beregu wanita negara, Hoo Thien How bagaimanapun mahu Pearly-Thinaah untuk terus kekal fokus.

"Perlawanan hari ini tiada masalah sebab mereka bertemu rakan sepasukan. Mereka juga sudah biasa dengan permainan masing-masing ketika sesi latihan.

"Yang penting sekarang, saya mahu mereka terus kekal fokus. Kalau ikut rekod memang mereka menang semua dengan beregu Thailand itu tapi setiap perlawanan adalah perlawanan baru, jadi fokus itu amat diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 2:28 PM