PEARLY (kiri) dan Thinaah bangkit tewaskan lawan mereka. FOTO BERNAMA
PEARLY (kiri) dan Thinaah bangkit tewaskan lawan mereka. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kecemerlangan apabila menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu mempamerkan aksi mengagumkan apabila bangkit di set ketiga untuk menang mengatasi beregu Thailand, Rawinda Prajongjai-Jongkolphan Kittitharakul pada aksi suku akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, hari ini.

Pearly-Thinaah yang diletakkan pilihan keenam, tewas di set pertama namun bangkit menguasai dua set berikutnya untuk melakar kemenangan 15-21, 21-14, 21-19 ke atas pilihan keempat berkenaan.

Pastinya kejayaan itu mampu menjadi tonik berharga kepada pasangan nombor satu negara itu menjelang temasya Sukan Asia di Hangzhou 23 September ini.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama mereka berjaya mara ke separuh akhir sejak muncul naib juara Masters Malaysia pada Jun lalu.

Pearly meluahkan rasa lega apabila berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir namun dia bersama Thinaah perlu kekal konsisten.

"Prestasi kami semakin baik tetapi perlu lebih konsisten. Saya mahu menikmati setiap perlawanan saya terutama selepas saya mengalami kecederaan dan masalah kesihatan sebelum ini.

"Buat masa sekarang saya menikmati setiap peluang yang ada apabila turun ke gelanggang," katanya.

Pearly-Thinaah akan berdepan satu lagi pasangan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard untuk perebutan tiket ke final, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasangan itu hanya pernah bertemu sekali sebelum ini iaitu pada Terbuka Thailand 2021 yang menyaksikan kemenangan memihak kepada Pearly-Thinaah.

Sementara itu, perjuangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berakhir di suku akhir selepas tewas di tangan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang Wang Chi Lin.

Izzuddin-Sze Fei bagaimanapun memberi tentangan sengit sebelum tewas 19-21, 18-21 dalam tempoh 45 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 4:09 PM