ANTARA aksi Jin Wei hari ini. FOTO AFP
ANTARA aksi Jin Wei hari ini. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Saingan Terbuka Hong Kong kali ini melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 500 tahun ini seramai empat wakil negara berjaya mara ke separuh akhir.

Mereka terdiri daripada pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Ng Tze Yong (perseorangan lelaki) dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Selepas beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah terlebih dahulu mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menewaskan beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, jejak mereka kemudiannya disusuli pemain perseorangan wanita profesional negara, Jin Wei.

Tidak disandarkan sebarang harapan terutama apabila turun berdepan pilihan keenam dari China, Han Yue, Jin Wei melakarkan kejutan menewaskan pemain itu dalam pertarungan yang memakan masa 52 minit sebelum menang 12-21, 21-17, 21-18.

Kali terakhir mereka bertemu adalah pada 2017 di Kejohanan Remaja Dunia yang menyaksikan Han Yue mudah menjinakkan Jin Wei.

Pemain di ranking ke-34 dunia itu akan berdepan seorang lagi wakil China, Zhang Yi Man untuk perebutan tiket ke final.

Sementara itu pemain perseorangan lelaki negara, Tze Yong meneruskan sensasi mara ke separuh akhir apabila menunjukkan jalan keluar buat pemain Denmark, Magnus Johannesen selepas menang 21-18, 21-12.

Kejayaan Tze Yong itu pasti akan memperbaiki ranking Race to Paris yang ketika ini sedang bersaing sengit bersama Lee Zii Jia.

Bagaimanapun Tze Yong dijangka akan menerima tentangan sengit di separuh akhir apabila berdepan pemain Indonesia, Jonathan Christie.

Namun ia bukan mustahil kerana Tze Yong, pemain yang penuh dengan kejutan itu pernah menewaskan Jonatan di pusingan kedua Terbuka Australia Mac lalu.

Turut mara ke separuh akhir adalah beregu campuran profesional negara, Soon Huat-Shevon Lai yang menang ke atas pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-10, 21-18.

Menanti mereka di separuh akhir adalah beregu tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 10:03 PM