PEARLY (kanan) dan Thinaah mara ke suku akhir. FOTO ASWADI ALIAS
PEARLY (kanan) dan Thinaah mara ke suku akhir. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Nasib berbeza menimpa dua wakil negara dalam saingan Masters Jepun hari ini apabila beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah berjaya melayakkan diri ke suku akhir, manakala perseorangan lelaki, Ng Tze Yong akur dengan kehebatan jaguh Denmark, Viktor Axelsen.

Pearly-Thinaah yang kembali selepas berehat sebulan dalam arena antarabangsa, tidak berdepan masalah untuk mengetepikan wakil tuan rumah, Rui Hirokami-Yuna Kato selepas menang straight set 21-17, 21-16.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah satu lagi pasangan Jepun iaitu Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto yang mengetepikan wakil Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui 21-13, 21-11.

Sementara itu, Tze Yong yang menjadi wakil tunggal perseorangan lelaki di pusingan kedua berjaya memberikan tentangan sengit kepada pemain nombor satu dunia, Axelsen apabila mengheret aksi sehingga ke rubber set.

Bagaimanapun, selepas memenangi set pertama, Tze Yong sukar mengatasi kehebatan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terutama di set kedua apabila tumpas 22-20, 11-21, 18-21.

Kekalahan Tze Yong itu menyaksikan rekodnya terikat 1-1 dengan Axelsen apabila pertemuan sulung di Seluruh England tahun ini menyaksikan pemain kelahiran Johor itu mencatat kemenangan 21-15, 9-21, 23-21 di pusingan kedua.

Selain Pearly-Thinaah sebelum itu dua pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya menempah slot ke suku akhir selepas menumpaskan lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 3:50 PM