AARON-WOOI YIK tewaskan juara Olimpik untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark. - FOTO NSTP
AARON-WOOI YIK tewaskan juara Olimpik untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark. - FOTO NSTP
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuktikan kewibawaan mereka apabila menundukkan juara Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin sekali gus mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.

Mereka mempamerkan keghairahan dalam usaha mempertahan gelaran juara dunia dengan menjadikan Lee Yang-Chi Lin mangsa apabila menang 21-16, 21-18.

Corak menyerang nyata membuahkan hasil buat Aaron-Wooi Yik apabila bangkit daripada ketinggalan 6-13 dan mengikat kedudukan buat kali pertama di kedudukan 15 sama di set pertama sebelum dapat menewaskan juara Terbuka Jepun itu dalam tempoh 43 minit.

Aaron berkata, dia bersama Wooi Yik lega apabila berjaya mengelak pertarungan rubber set.

"Kami cuba untuk mengelakkan perlawanan tiga set selepas dapat berjaya bangkit mengejar di set pertama. Memang sedikit gementar di set kedua tapi kami terus fokus di dalam gelanggang dan meneruskan rentak permainan kami.

"Sekarang ini kami mahu kekal fokus untuk perlawanan seterusnya selepas bermula agak perlahan di pusingan ketiga ini," kata Aaron.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini mencatatkan rekod pertemuan tiga kemenangan dari tujuh pertemuan termasuklah kali terakhir ketika Kejohanan Badminton Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), April lalu.

Aaron-Wooi Yik selepas ini akan berdepan pilihan keenam dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi yang menewaskan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 24-22, 21-16.

Untuk rekod daripada tiga pertemuan sebelum ini, pasangan negara masih belum pernah mengatasi ke atas beregu China itu yang kini menghuni ranking ketujuh dunia.

Sementara itu perjalanan beregu profesional negara yang juga pemenang pingat gangsa 2021, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terhenti di pusingan ketiga apabila tewas kepada beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 10-21.

Turut terkandas di pusingan ketiga satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Wei Chong-Kai Wun tunduk kepada beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 21-16, 14-21, 17-21 manakala Soon Huat-Shevon kalah kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 16-21, 18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 12:37 AM