SOON Huat-Shevon atasi beregu tuan rumah di Gwangju. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
SOON Huat-Shevon atasi beregu tuan rumah di Gwangju. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saiful Affendy Sapran


BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menempuh detik sukar sebelum menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Kim Hye Rin 22-20, 20-22, 21-17 pada pusingan kedua Masters Korea di Gwangju, hari ini.

Soon Huat-Shevon hampir meraih kemenangan pada set kedua, namun beregu tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan yang akhirnya dimenangi oleh pasangan negara.

Turut mara ke suku akhir beregu profesional campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang berhempas-pulas sebelum menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Okamura-Chisato Hoshi 16-21, 21-14, 21-17.

Satu lagi beregu profesional lelaki negara yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut mara selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae 21-13, 16-21, 21-17 dalam tempoh 53 minit.

Hanya tiga pasangan itu saja mara ke suku akhir dengan naib juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas pada pusingan kedua di tangan lawan masing-masing.

Aaron-Wooi Yik tewas kepada pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 21-18, 15-21, 15-21.

Manakala Kian Meng-Pei Jing juga tewas kepada Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching dari Taiwan 21-16, 22-24, 25-27.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:29 PM