AKSI Wooi Yik dan Aaron ketika menentang beregu Taiwan. FOTO Bernama
AKSI Wooi Yik dan Aaron ketika menentang beregu Taiwan. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya mara ke separuh akhir Masters Malaysia apabila mengalahkan gandingan Taiwan, Chang Ko Chi-Po Li Wei di Axiata Arena sebentar tadi.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kelima bergelut di set pertama sebelum mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-16 dalam aksi selama 46 minit.

Menanti pasangan nombor satu negara itu di separuh akhir esok ialah Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang sebelum itu mengalahkan satu lagi gandingan Malaysia, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai masih lagi buntu untuk menumpaskan Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China apabila tewas kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Soon Huat-Shevon tewas 10-21, 14-21 di tangan pilihan kedua dalam tempoh 27 minit dan ia kekalahan ketujuh dalam tujuh pertemuan antara mereka.

Malah ia juga seakan 'ulangan' keputusan pertemuan ketika kedua-dua pasangan berentap di pentas sama pada edisi 2020 di mana ketika itu Soon Huat-Shevon yang berada di ranking ke-15 dunia tewas 11-21, 9-21.

Si Wei-Ya Qiong dijadual bertemu pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang di pentas separuh akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 11:26 PM