AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu Korea Selatan petang ini.
AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu Korea Selatan petang ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Cabaran pemain negara di Terbuka Perancis kini hanya digalas beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mara ke suku akhir, awal pagi tadi.

Diletakkan sebagai pilihan kelima Aaron-Wooi Yik mempamerkan permainan mantap apabila mengatasi beregu Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-16, 21-18 pada pusingan kedua di Arena Porte de la Chapelle di Paris.

Aaron berkata, dia berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan namun sedikit goyah di set kedua.

"Kami bermain dengan baik dalam perlawanan hari ini cuma set kedua ada sedikit hilang fokus tetapi kami berjaya mengatasinya untuk memenangi perlawanan.

"Tapi ada perkara yang perlu kami perbaiki untuk perlawanan seterusnya," kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.

Menanti mereka adalah juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada perlawanan suku akhir, petang ini.

Kali terakhir mereka bertemu menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas dalam pertarungan tiga set di suku akhir Terbuka Malaysia, Januari lalu.

"Persekitaran di sini sangat baik (di Arena Porte de la Chapelle yang akan menjadi gelanggang rasmi Sukan Olimpik Paris 2024) dan diharapkan kami boleh kekalkan momentum dan memenangi perlawanan seterusnya," kata Wooi Yik.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak berjaya mengikut jejak langkah Aaron-Wooi Yik selepas terkandas di pusingan kedua.

Mereka terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan nombor satu dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 9:57 AM