AARON dan Wooi Yik benam beregu Perancis.
AARON dan Wooi Yik benam beregu Perancis.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik beraksi cemerlang pada pusingan pertama Terbuka Denmark apabila berjaya meraih kemenangan menentang lawannya sebentar tadi.

Aaron dan Wooi Yik membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila menumpaskan pasangan Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov 21-16, 21-18 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Arena Jyske Bank.

Aaron-Wooi Yik bagaimanapun berdepan ujian getir dalam misi memburu tiket ke suku akhir apabila bakal bertemu bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan pada aksi pusingan kedua, Khamis ini.

Minggu lalu, Aaron-Wooi Yik yang meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou terpaksa akur apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Artik di Vantaa, Finland selepas tewas di tangan beregu senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menjadi naib juara di kejohanan itu.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tidak perlu bermandi peluh apabila diberi kemenangan percuma untuk melangkah ke pusingan kedua.

Ini selepas lawan mereka dari India yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty membuat keputusan menarik diri selepas Rankireddy difahamkan mengalami kecederaan bahu.

Ee Yi-Yew Sin seterusnya akan bertemu pemenang perlawanan antara Wei Chong-Kai Wun dengan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.

Saingan beregu campuran pula menyaksikan nasib tidak menyebelahi dua pasangan profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie selepas tersingkir di pusingan pertama.

Kian Meng-Pei Jing tunduk kepada beregu Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 16-21, 10-21 manakala Soon Huat-Shevon terpaksa akur dengan kekalahan dalam pertarungan tiga set di tangan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan 21-19, 20-22, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 9:33 PM