ZII Jia kini duduki ranking ke-13 dunia.
ZII Jia kini duduki ranking ke-13 dunia.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia satu-satunya atlet berada di bawah program Road To Gold (RTG) yang tidak menggunakan khidmat dari Institut Sukan Negara (ISN).

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, yang berkongsi bentuk bantuan dihulurkan agensi terbabit kepada program RTG.

Ia kerana, pemain yang menghuni ranking ke-13 dunia itu sudah mempunyai pasukannya sendiri dan tidak pernah meminta khidmat sokongan ISN.

Faedzal ketika ditemui berkata, ISN sentiasa memberi khidmat terbaik kepada semua atlet yang berada di bawah program termasuk membabitkan atlet profesional.

"ISN sentiasa berhubung dengan semua atlet yang berada di bawa program. Kami menawarkan khidmat diperlukan dan ketika ini semua atlet mendapatkan perkhidmatan itu kecuali Zii Jia.

"Kami akan sentiasa membantu jika dia (Zii Jia) meminta untuk mendapatkan sebarang keperluan dari ISN. Buat masa ini pemain profesional lain sudahpun menggunakan khidmat ISN yang kami sediakan," katanya.

Selain Zii Jia, atlet badminton profesional negara yang berada dalam program RTG dan menggunakan perkhidmatan ISN adalah beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dua beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan kian Meng-Lai Pei Jing.

"Kita tetap berkomunikasi dengan Team LZJ, dengan jurulatih Wong Tat Meng, Rosman Razak dan bertanya bantuan yang diperlukan dari ISN. Kita juga menghantar pasukan ke tempat latihan mereka.

"Kita ada pegawai bertanggungjawab berkomunikasi dengan pemain profesional dan mereka juga akan berbincang dengan jurulatih.

"Kita sangat komited dengan keperluan untuk memastikan atlet kita layak ke Olimpik Paris, itu komitmen kami dalam RTG," katanya.

Faedzal berkata, ketika ini di Kejohanan Dunia di Copanhagen, Denmark seramai enam staf ISN bertugas mengiringi pasukan, tiga daripadanya untuk membantu pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan tiga lagi untuk pemain profesional.

Ia membabitkan penganalisis prestasi, ahli fisioterapi sukan dan tukang urut sukan.

Dalam pada itu, Ahmad Faedzal berkata sehingga kini seramai 13 pegawai sokongan ISN disediakan di bawah program RTG manakala 80 lagi pegawai berkhidmat untuk Program Podium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 4:25 PM