HANNAH (tengah) menyaksikan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali (dua kiri) dan Ahmad Faedzal bertukar dokumen memorandum persefahaman di ISN, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
HANNAH (tengah) menyaksikan Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali (dua kiri) dan Ahmad Faedzal bertukar dokumen memorandum persefahaman di ISN, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sama ada berlaku pertambahan atau pengguguran atlet dalam program Road To Gold (RTG) hanya akan ditentukan selepas mesyuarat jawatankuasa penilaian program itu dilakukan, September depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mesyuarat itu akan turut membabitkan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi.

"Seperti dinyatakan dalam mesyuarat lalu, sesi penilaian prestasi akan dilakukan untuk melihat status terkini atlet yang berada dalam program.

"Ketika ini, belum ada sebarang keputusan kerana saya perlu mendengar daripada penasihat dan ahli jawatankuasa berhubung prestasi terkini atlet berdasarkan kedudukan ranking sebelum menilai semula kedudukan mereka.

"Semua akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti termasuklah sama ada ada pertambahan atlet baru yang sudah layak ke Olimpik akan disenaraikan dalam program RTG atau tidak," katanya ketika ditanya status penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi atlet pertama layak ke temasya Olimpik Paris 2024.

Buat masa ini, semua atlet dalam program RTG kekal sehingga penilaian semula dilalukan walaupun ada sebilangan atlet mengalami prestasi kurang memberangsangkan seperti ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

Ketika ini, 17 atlet tersenarai dalam program RTG dengan 12 daripadanya sukan badminton iaitu pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Selain badminton, atlet sukan lain yang tersenarai ialah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua wakil sukan terjun iaitu Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri selain sukan hoki.

Sementara itu, Hannah yang ditemui pada Majlis Perasmian Program 'ISN Inspire 2023' mengumumkan perlantikan anggota lembaga baharu ISN.

Mereka terdiri daripada Datuk Marina Chin yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga ISN dan Dr Mohd Azman Yacob (Pengarah Bahagian perkembangan Perubatan selaku wakil Kementerian Kesihatan Malaysia).

Ahli-ahli lantikan lain terdiri dari Datuk V Subramanian, Datuk Nicol David, Dr Tan Kah Hock, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin.

Hannah berkata, beliau percaya dan yakin lembaga ISN yang baharu ini bersama pengurusan kanan ISN yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli akan komited memacu ekosistem sukan negara yang mampan.

Seterusnya dapat meningkatkan lagi potensi serta prestasi atlet seterusnya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa sejajar dengan strategi dan inisiatif yang dinyatakan dalam Pelan Strategik ISN 2030 (V30).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 2:23 PM