HANNAH (tengah) bersama Fadhlina bergambar beramai-ramai selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat di Menara Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH (tengah) bersama Fadhlina bergambar beramai-ramai selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat di Menara Kementerian Belia dan Sukan, hari ini. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Jawatankuasa Road To Gold (RTG) tampak tampil dengan 'dasar pandang ke timur' apabila memilih Jepun sebagai negara untuk menjadi rujukan utama dalam usaha memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Ia selepas lawatan delegasi jawatankuasa berkenaan diketuai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke Jepun, minggu lalu dan mendapati negara itu khususnya Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) sememangnya sudah terbukti berjaya dalam aspek pembangunan sukan.

Selain Hannah, delegasi yang melakukan lawatan ke NSSU serta Majlis Sukan Jepun itu turut disertai pengerusi bersama jawatankuasa RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan penyelaras RTG, Stuart Ramalingam.

"Kenapa Jepun? Kerana mereka adalah negara Asia yang banyak memenangi pingat emas (di Olimpik). Apabila saya pergi ke universiti mereka (NSSU), galeri dewan kemasyhuran mereka saja menampilkan lebih 40 pemenang pingat emas di peringkat universiti.

"Bayangkan kita di peringkat negara masih memburu emas pertama. Jadi apa yang kami sudah bincang bersama Presiden NSSU ialah mereka bagi komitmen sepenuhnya kepada kita. Apa-apa yang kita perlukan mereka akan bantu.

"Sekarang kami sedang melakukan penelitian. Ketika ini Malaysia banyak bergantung kepada acara berbasikal, badminton dan terjun. Sebenarnya kita ada banyak lagi atlet yang berpotensi jika ada strategi yang betul. Sebab itulah kita menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Sukan Nippon.

"Selepas kita meneliti, perbandingan paling jelas yang dapat dilihat adalah cara mereka mencungkil bakat bermula sangat awal di peringkat sekolah," kata Hannah.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, hari ini.

Sebelum ini, Hannah mengumumkan senarai 15 atlet yang terpilih menyertai program RTG dengan 11 daripadanya membabitkan sukan badminton.

Ia termasuk pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia; dua gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Selain pemain badminton, atlet lain dalam RTG adalah pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang; Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal trek), ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 4:20 PM