HANNAH ditemui di pelancaran kempen pengumpulan dana pasukan Kebangsaan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia Footgolf di Orlando, Amerika Syarikat. FOTO Bernama
HANNAH ditemui di pelancaran kempen pengumpulan dana pasukan Kebangsaan Footgolf Malaysia ke Piala Dunia Footgolf di Orlando, Amerika Syarikat. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada syarat untuk atlet yang mendapat bantuan dan sokongan menerusi program Road to Gold (RTG) diwajibkan untuk menyertai persatuan sukan yang diwakilinya.

Demikian penjelasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi menjelaskan khabar angin pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia akan kembali bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas presiden badan induk itu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terbuka menerimanya kembali.

"Saya akan berjumpa dengan Zii Jia pada minggu hadapan. Selepas berjumpa saya akan maklumkan butiran. Kita mahu pastikan setiap atlet yang ada peluang bantu Malaysia dapatkan emas di Olimpik diberikan sokongan mencukupi.

"Dalam bentuk apa bantuan itu, saya akan maklumkan selepas jumpa Zii Jia. Dalam RTG struktur yang diberikan kepada atlet yang dikenal pasti dalam bentuk sokongan berbeza antara atlet.

"Kita tidak letakkan syarat layak dapat sokongan mesti sertai persatuan sukan itu, kita tiada syarat sebegitu," katanya ketika ditemui selepas melancarkan kempen pengumpulan dana pasukan Footgolf Malaysia.

Jelas Hannah lagi, pengumuman bentuk bantuan kepada atlet akan diumumkan selepas beliau dan penyelaras program, Stuart Ramalingam berjumpa atlet.

Norza yang juga pengerusi bersama jawatankuasa RTG dan Presiden MOM, sebelum ini dilaporkan berkata beliau mengenepikan segala perbezaan bagi memastikan Malaysia fokus untuk meraih emas sulung dalam Olimpik Paris.

Zii Jia yang kini menduduki ranking keempat dunia, meninggalkan BAM pada Januari tahun lalu untuk bergerak secara profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 5:50 PM