ZII Jia kini duduki ranking ke-11 dunia.
ZII Jia kini duduki ranking ke-11 dunia.
Ferzalfie Fauzi


Subang Jaya: Kenyataan media dikeluarkan Sekretariat Road To Gold (RTG) hari ini mengesahkan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak akan meneruskan Program RTG.

Menurut Sekretariat RTG, mereka sudah mengadakan perbincangan atas talian bersama Team Lee Zii Jia (Team LZJ) hari ini dan kesimpulannya pemain profesional itu tidak akan meneruskan dengan program berkenaan.

"Dalam perbincangan berkenaan Team LZJ diwakili jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng, Liew Daren dan kakaknya, Lee Zii Yii merangkap pengurusnya. Mereka menjelaskan bahawa keputusan dibuat selepas melakukan pertimbangan teliti," kata kenyataan berkenaan.

Ujar kenyataan berkenaan, berdasarkan perbincangan dalaman Zii Jia tidak memerlukan tambah nilai perkhidmatan yang ditawarkan oleh RTG.

"TEAM LZJ memberi jaminan mereka akan terus kerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan seperti Kementerian Belia & Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menjelang Sukan Olimpik Paris tahun depan," kata Sekretariat RTG.

Beberapa jam sebelum kenyataan itu dikeluarkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan kepada media bahawa pemain yang berada di ranking ke-11 dunia itu memutuskan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC).

Hannah menerima pengesahan itu daripada Penyelaras Jawatankuasa RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

Sebelum ini, Hannah memaklumkan Zii Jia satu-satunya daripada 15 atlet yang tersenarai dalam RTG masih belum menandatangani kontrak perjanjian persetujuan berkenaan.

Dia diberikan tempoh selama 14 hari sehingga 14 November bagi melengkapkan komitmen berkenaan.

RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat di temasya terbesar dunia itu.

Ia termasuklah sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN. Atlet juga diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 6:07 PM