TAN Sri Dr Mohamad Norza Zakaria. FOTO Owee Ah Chun
TAN Sri Dr Mohamad Norza Zakaria. FOTO Owee Ah Chun
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Senarai atlet yang akan berada dalam projek 'Road to Gold' (RTG) boleh dikatakan sudah mendapat gambaran sepenuhnya apabila kemungkinan besar didominasi barisan pemain badminton negara.

Hal ini kerana, berdasarkan dua ciri yang ditetapkan jawatankuasa pasukan RTG yang baharu ditubuhkan semalam menyaksikan hanya atlet yang pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik akan berada dalam 'kelompok elit' itu.

Senarai itu juga akan bertambah apabila atlet yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia kemungkinan besar mendapat perhatian jawatankuasa terbabit sekali gus menyaksikan barisan pemain badminton negara bakal mendominasi RTG bagi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Menurut pengerusi bersama RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria , Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) Stuart Ramalingam sebagai Penyelaras Projek dengan dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai akan mengenal pasti atlet yang layak untuk berada di dalam program RTG berdasarkan ciri terbabit.

"Kita menilai berdasarkan dua kriteria iaitu pemenang pingat di Olimpik dan sudah tentu jaguh berbasikal negara Datuk Azizulhasni Awang, beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan juga ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong.

"Berdasarkan senarai itu (kelompok 10 terbaik) tentu saja Lee Zii Jia, Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berada dalam kelompok berkenaan," katanya, ketika ditemui ditemui pada majlis penyerahan tajaan daripada Matrix Concepts di Akademi Badminton Malaysia (ABM), sebentar tadi.

Mengikut rekod, ketika ini, sekurang-kurangnya lapan pemain badminton negara berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi berada di ranking kedua dunia manakala Zii Jia berada di tempat keempat dunia, PearlyThinaah ranking keenam dunia manakala Ee Yi-Yew Sin yang juga pasangan lelaki profesional negara ranking kelapan dunia.

Selain itu, beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai masing-masing berada di tempat keenam dan kelapan dunia.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG bagi menyelaras usaha meraih pingat itu di Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Hannah berkata, pasukan projek terbabit yang terdiri daripada bekas atlet dan 'individu elit' dalam arena sukan negara akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Katanya, jawatankuasa RTG akan memperkasakan Program Podium sedia ada diketuai MSN da ISN melalui pemantauan peringkat kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 4:29 PM