Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
Goh Jin Wei. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Tidak kira apa saja keputusan asalkan dia boleh beraksi," itulah harapan Pengurus Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Sairul Amar Ayub selepas Goh Jin Wei menghantar surat rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, beliau mengesahkan bahawa Jin Wei sudah menghantar surat rayuan berkenaan kepada BAM.

"Dia sendiri (Jin Wei) yang menghantar surat melalui emel kepada BAM semalam. Kalau boleh kita pun mengharapkan keputusan 'menang-menang'," kata Sairul Amar.

Ujar beliau, tidak kisah apa saja keputusan yang akan diumumkan BAM nanti yang penting baginya, bekas juara remaja dunia itu dibenarkan untuk mengambil bahagian di peringkat antarabangsa.

"Kalau boleh sama macam Lee Zii Jia (diberi restu untuk beraksi dan bergerak secara profesional)," kata Sairul Amar yang sebelum ini mengumumkan Jin Wei dan seorang lagi pemain perseorangan profesional berada di bawah naungan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh mengesahkan sudah menerima surat rayuan yang dihantar Jin Wei semalam.

"Sudah serahkan (surat rayuan) malam tadi. Dalam kandungan surat berkenaan dia juga meminta agar diberi peluang sama macam Zii Jia bergerak secara profesional," kata Kenny.

Jumaat lalu BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:14 PM