DJOKOVIC berada dalam landasan terbaik mencipta sejarah Grand Slam. FOTO AFP
DJOKOVIC berada dalam landasan terbaik mencipta sejarah Grand Slam. FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic mengalahkan Karen Khachanov 'straight set' untuk mara ke suku akhir Terbuka Perancis buat kali ke-11 berturut-turut.

Pilihan utama dan juara 2016 itu, mencatat kemenangan 6-4, 6-3, 6-3 ke atas wakil Russia bagi menyamai rekod dengan Rafael Nadal melakukan 14 penampilan di suku akhir di Paris.

Djokovic berdepan tugas paling sukar setakat ini namun Khachanov masih gagal untuk menghalangnya bagi menjadi pemain pertama dalam tempoh separuh abad memenangi kesemua gelaran Grand Slam sekurang-kuranya sebanyak dua kali.

"Ia adalah perlawanan yang seimbang, sebenarnya sangat sukar berbanding keputusan di atas kertas," kata Djokovic yang memburu gelaran Grand Slam kali ke-18.

Dia mengakui berdepan detik 'deja vu' apabila secara tidak sengaja terpukul bola mengenai kepala salah seorang pengadil garisan ketika cuba membalas servis.

Insiden itu berlaku selepas seminggu Djokovic didapati bersalah di Terbuka Amerika Syarikat (AS) di New York kerana memukul bola dalam keadaan marah sebelum mengenai pengadil garisan wanita di belakangnya.

Pemain nombor satu dunia itu akan berdepan Pablo Carreno Busta, pemain yang mendapat kemenangan percuma selepas Djokovic disingkirkan dari Terbuka AS atas insiden dengan pengadil garisan.

Carreno Busta mengetepikan pemain dari peringkat kelayakan dari Jerman, Daniel Altmaier dalam aksi tiga set.

Stefanos Tsitsipas berjaya mengetepikan masalah sakit mata untuk menjadi pemain Greece pertama mara ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menang 6-3, 7-6 (11/9), 6-2 ke atas Grigor Dimitrov.

Pemain berusia 22 tahun itu akan berdepan Andrey Rublev mengulangi aksi final di Hamburg yang menyaksikan dia berjaya muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 11:19 AM