CARRENO tidak dapat mempertahankan gelaran Terbuka Kanada. FOTO Agensi
CARRENO tidak dapat mempertahankan gelaran Terbuka Kanada. FOTO Agensi
AFP

Toronto: Juara bertahan Pablo Carreno Busta, Nick Kyrgios dari Australia dan pemain tuan rumah, Denis Shapalov semuanya menarik diri daripada Terbuka Kanada, selepas penganjur mengesahkan perkara berkenaan.

Carreno menewaskan Hubert Hurkacz 3-6, 6-3, 6-3 pada final tahun lalu di Montreal untuk merangkul gelaran Masters 1000 pertama dalam kariernya.

Bagaimanapun, kecederaan yang mengganggu menyaksikan dia bermain hanya empat perlawanan musim ini, terbaru kekalahan tiga set kepada pemain Perancis, Richard Gasquet di Rotterdam pada Februari lalu

Sementara itu, Kyrgios yang terlepas aksi Wimbledon sebelum mempertahankan kejuaraannya di Washington minggu ini turut menarik diri akibat kecederaan ligamen pergelangan tangan.

Penganjur berkata Shapovalov, yang berjaya mara ke pusingan 16 akhir di Wimbledon, menarik diri kerana kecederaan lutut.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur, harapan pemain tuan rumah itu berkata, dia 'melakukan segala yang mungkin' untuk cergas demi kejohanan berkenaan tetapi kecederaan dialami 'memerlukan lebih banyak masa'.

Hasil daripada penarikan diri, penganjur berkata, Emil Ruusuvuori dari Finland, JJ Wolf dan Kei Nishikori (Jepun) akan mendapat lalaun automatik ke dalam undian utama.

Kejohanan gelanggang permukaan keras itu, salah satu pertandingan penting untuk Terbuka Amerika Syarikat yang bermula di Flushing Meadows pada 28 Ogos, selepas kehilangan pemain nombor dua dunia, Novak Djokovic.

Juara Grand Slam 23 kali itu, yang tumbang kepada pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz dalam perlawanan akhir Wimbledon, menarik diri kerana keletihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 1:54 PM