AZIZULHASNI kembali capai kemuncak prestasi.
AZIZULHASNI kembali capai kemuncak prestasi.
Aida Adilah Mat


PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang berkongsi khabar gembira dari Melbourne apabila memaklumkan prestasinya kini sudah mencapai tahap sama seperti ketika menyertai Kejohanan Berbasikal Dunia di Berlin Februari lalu.

Biarpun Melbourne masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, ia langsung tidak menjejaskan prestasinya bersama seorang lagi atlet negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Kata Azizul, dia gembira kerana sudah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan ketua jurulatih, John Besleay yang kini sudah pun merangka strategi baru latihan untuk terus kekal di kemuncak prestasi.

''Ketika ini kami sudah menuju ke arah yang betul. Apabila saya dan Shah sudah mencapai KPI ditetapkan kami kini meletakkan KPI baru untuk meningkatkan lagi kekuatan di atas basikal.

''Untuk rekod data latihan dari segi kayuhan saya sekarang ini bersamaan ketika saya berada di kemuncak prestasi ketika di Kejohanan Dunia di Berlin yang lalu.

''Kebiasaan jika awal musim data akan jauh lebih rendah daripada ketika waktu kemuncak. Tapi sekarang ini ketika awal musim pun sudah mencapai data kemuncak jadi maknanya masih banyak ruang untuk dipertingkatkan dan data itu akan jauh lebih tinggi apabila sampai waktu kemuncak saya nanti,'' katanya. Kata Azizul, dia bersama Shah kini cuba berusaha mencapai tahap semaksima mungkin untuk meningkatkan lagi keupayaan memenangi emas di Olimpik nanti dan sesekali tidak akan berpuas hati dengan apa sudah dicapai ketika ini.

Untuk rekod, Azizul kini menjadi taruhan terbaik negara merangkul emas di temaysa Olimpik Tokyo tahun depan.

Kejayaan menaiki podium di Kejohanan Dunia lalu menyaksikan The Pocket Rocketman berada di landasan tepat untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pingat gangsa yang diraihnya di Olimpik Rio 2016 pada Olimpik Tokyo.

Ketika kejohanan itu Azizul yang juga pelumba nombor satu negara menghadiahkan dua gangsa menerusi acara keirin dan pecut manakala Shah turut merekod catatan masa terbaik dalam acara pecut, 9.609 saat (s) manakala Muhammad Fadhil Zonis memadamkan rekod berusia 11 tahun untuk bergelar pemegang rekod kebangsaan acara 1 kilometer ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 1:55 PM