AZIZULHASNI sudah mencapai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Beasley. FOTO AFP
AZIZULHASNI sudah mencapai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Beasley. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


DUA pelumba negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom tetap menjalani latihan seperti biasa biarpun keadaan di Melbourne masih lagi belum reda dengan peningkatan kes Covid-19.

Penduduk di Melbourne kini tidak dibenarkan untuk keluar rumah jauh daripada jarak 5 kilometer bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Namun bagi pelumba negara itu, mereka tetap menjalani latihan seperti biasa di velodrom dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kata Azizul, setakat ini semuanya berjalan lancar dan mengikut apa yang dikehendaki oleh John Beasley.

"Alhamdulillah kerajaan Australia dan Victoria Cycling tahu bahawa kami dalam persediaan untuk menghadapi Olimpik jadi mereka benarkan kami terus menggunakan velodrom untuk berlatih.

"John pula sudah menyediakan permit untuk kami bergerak jadi semuanya dipermudahkan di sini.

"Sejak dari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi saya dah Shah banyak fokus untuk tingkatkan kekuatan badan dan meningkatkan kekuatan di atas basikal," katanya.

Tegas Azizul,dia kini sudah mencapai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Beasley dan itu menandakan bahawa dia kini berada di landasan yang tetap menuju ke Olimpik Tokyo tahun depan.

"Saya kini sudah melepasi KPI yang ditetapkan oleh John. Saya kini menuju ke fasa seterusnya.

"Bila sudah capai KPI yang ditetapkan, kami akan tetapkan KPI baru untuk dipenuhi bagi meningkatkan lagi prestasi masing-masing," katanya.

Terdahulu, Azizul menjadi calon pilihan untuk dinobatkan sebagai Atlet Terbaik di majlis anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) esok.

Ia adalah hasil kejayaannya menaiki podium selaku juara di Kejohanan trek Siri Dunia di Cambridge Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:12 PM