AZIZULHASNI (kanan) ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Februari lalu. FOTO AFP
AZIZULHASNI (kanan) ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Februari lalu. FOTO AFP
Syazwan Msar


DI SEBALIK cabaran dan rintangan yang dihadapi ketika ini membabitkan persiapan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo akibat wabak Covid-19, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap optmis jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mampu merealisasikan impian rakyat Malaysia untuk menggenggam emas pada temasya berkenaan.

Keyakinan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas melihat komitmen dan kemampuan pelumba berasal dari Dungun, Terengganu yang kini berada pada kemuncak prestasinya untuk beraksi di Olimpik nanti.

Beliau berkata, Azizulhasni atau dikenali sebagai Jijoe yang memenangi pingat gangsa dalam final acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin Februari, lalu tidak berdepan sebarang masalah dalam mengekalkan prestasi walaupun temasya itu ditangguh pada tahun depan.

“Kita mengharapkan emas pertama daripada Azizul kerana dia kini berada pada tahap siap sedia yang tinggi dan sudah melakukan persiapan rapi.

“Jika tidak berdepan sebarang masalah, hasrat rakyat Malaysia untuk melihat atlet kita meraih emas pertama di Olimpik dapat direalisasikan nanti,” katanya.

Selain itu, Reezal Merican berkata penangguhan temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu memberi ruang dan peluang kepada atlet untuk melakukan persiapan rapi sekali gus mampu melakukan kejutan pada kejohanan itu.

“Kita percaya penangguhan ini memberi lebih masa kepada atlet untuk melepasi ujian kelayakan sekali gus mencapai sasaran menghantar sekurangnya 30 atlet ke Olimpik Tokyo.

“Barisan kejurulatihan dengan dibantu Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau perkembangan atlet berkenaan malah turut memastikan mereka mengekalkan tahap kecergasan dan kemampuan walaupun tidak melakukan latihan di luar.

“Pada masa sama, kita akan mengumumkan program dengan kerjasama MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk merombak beberapa program atlet bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:28 PM