FADHIL cemburu dengan peningkatan Azizul dan Shah Firdaus di Melbourne.
FADHIL cemburu dengan peningkatan Azizul dan Shah Firdaus di Melbourne.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis merindui sentuhan John Beasley dan mahu segera pulang ke Melbourne menjalani latihan bersama Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Dia yang bakal menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Hong Kong bulan depan kini merasa lebih selamat selepas menerima vaksin Covid-19 dos pertama pada 13 April dan akan melengkapkan vaksin dos kedua pada 4 Mei ini.

Katanya, dia bersedia kembali ke Melbourne pada bila-bila masa kerana sudah tidak sabar berlatih di sana terutama ketika melihat peningkatan kedua-dua pelumba negara berkenaan.

"Saya memang sangat bersemangat dan rindu sangat balik ke Melbourne. Mereka (Azizul dan Shah) sekarang berada di tahap tertinggi dan buat saya tak sabar untuk kejar mereka walaupun tak berlatih sekali.

"Saya tak nak tertinggal jauh dan biarpun saya belum berada di tahap terbaik saya harap dapat mengikut perancangan diaturkan jurulatih sehinggai ke Kejohanan Dunia September nanti," katanya.

Pemegang rekod kebangsaan acara 1 kilometer ujian masa itu berkata, dia bakal beraksi dalam acara 1km ujian masa, pecut dan keirin di Hong Kong nanti menyasarkan untuk melakarkan impak biarpun selepas lebih setahun tidak beraksi.

Mengulas mengenai prestasinya, Fadhil berkata ada peningkatan dari segi prestasi berdasarkan sesi perlumbaan yang diadakan sesama rakan pasukan yang lain di Velodorm Nilai bulan lalu.

Kejohanan berbasikal Piala Negara-Negara di Hong Kong adalah kejohanan yang menawarkan mata kelayakan untuk pelumba beraksi di Kejohanan Berbasikal Dunia September ini Belgium.

Untuk rekod Fadhil berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 1 km ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2020 di The Velodrom, Berlin, Jerman tahun lalu.

Pelumba berusia 20 tahun itu merekodkan satu minit 00.305 saat, memadam catatan masa Mohd Rizal Tisin, 1:01.658s yang dilakukannya ketika memenangi gangsa di Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland, 11 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 8:28 PM