SERAMAI 8,400 penyokong RB Leipzig dibenarkan menyaksikan aksi pembukaan musim ini. FOTO Agensi
SERAMAI 8,400 penyokong RB Leipzig dibenarkan menyaksikan aksi pembukaan musim ini. FOTO Agensi
AFP

RB Leipzig diberikan kebenaran untuk memberi ruang kepada 8,400 penyokong hadir dalam perlawanan pertama saingan Bundesliga musim ini yang akan bermula pada pertengahan September.

Ia akan menjadikan mereka sebagai kelab Jerman pertama dari liga utama menerima kembali penonton ke stadium sejak direncatkan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara itu pada pertengahan Mac.

Ia akan menyaksikan Red Bull Arena akan diisi sebanyak 20 peratus daripada penyokong Leipzig menjelang aksi pembukaan kempen 2020/21 menentang Mainz pada 20 September.

"Kami menyedari kepercayaan yang diberikan oleh ahli politik dan pihak berkuasa, jadi kami akan menjaganya dengan penuh bertanggungjawab serta berhati-hati," kata Pengarah Urusan Leipzig, Oliver Mintzlaff.

Leipzig dibenarkan menerima kehadiran penonton oleh pihak berkuasa tempatan di stadium yang berkapasiti 42,000 itu dengan syarat kadar jangkitan ketika itu rendah dan tidak meningkat mendadak.

Kadar kes semasa di bandar bahagian timur Jerman itu ialah 3.2 kes setiap minggu membabitkan 100,000 orang.

Ia harus kekal di bawah 20 untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium.

Kali terakhir Leipzig beraksi dengan kehadiran penonton ialah ketika mengalahkan Tottenham di aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara pada pertengahan Mac.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 8:37 AM