WERNER (berdiri) tekad bantu Leipzig atasi Bayern. -Foto AFP
WERNER (berdiri) tekad bantu Leipzig atasi Bayern. -Foto AFP
AFP

BERLIN: Timo Werner pasti mahu menebus kesilapan gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila RB Leipzig berkunjung ke Bayern Munich pada pertemuan tumpuan Bundesliga, tengah malam esok.

Penyerang berusia 21 tahun itu dijangka kembali dalam kesebelasan utama, selepas diturunkan dari bangku simpanan ketika pasukannya mahu membalas dendam kekalahan penentuan penalti 5-4 dalam saingan Piala Jerman kepada gergasi itu, pertengahan minggu ini.

Berada di tangga ketiga liga dan hanya satu mata di belakang Bayern, kemenangan membolehkan Leipzig meraih kelebihan awal dalam perebutan gelaran Bundesliga musim ini.

Dan aksi kali ini pasti lebih beremosi, selepas ketegangan tercetus pada pertemuan Piala Jerman susulan insiden perbalahan pengarah sukan Leipzig, Ralf Rangnick dengan pemain Bayern.

Malah, jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuettl turut menambah kehangatan selepas pertembungan itu dengan menuduh pengadil aksi berkenaan sebagai ‘pilih kasih’.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” kata penyerang Leipzig, Marcel Sabitzer. “Kami perlu mengerah tenaga ke tahap maksimum. Satu-satunya perkara baik ialah Bayern juga beraksi selama 120 minit.”

Sementara itu, Borussia Dortmund yang sedang menguasai kedudukan takhta Bundesliga akan ke Hanover dalam keadaan terbaik selepas mengutip kemenangan pertama selepas empat perlawanan hasil kejayaan membenam Magdeburg.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 12:37 PM