PENYERANG Leipzig,  Timo Werner (kanan) diasak dua pemain Bremen. - FOTO AFP
PENYERANG Leipzig, Timo Werner (kanan) diasak dua pemain Bremen. - FOTO AFP
AFP

RB Leipzig kekal di tangga teratas Bundesliga selepas menang 3-0 di Werder Bremen, awal pagi tadi manakala Philippe Coutinho menjaringkan gol pertama bersama Bayern Munich ketika juara bertahan membelasah Cologne 4-0.

Bayern terlebih dahulu di puncak hasil kemenangan di Allianz Arena sebelum dipintas Leipzig yang beraksi 10 pemain di Bremen.

Tandukan pertahanan, Willi Orban pada babak pertama dan sepakan percuma menarik Marcel Sabitzer membolehkan Leipzig mendahului 2-0 sebelum pemain tengah, Konrad Laimer dibuang padang susulan menerima kad kuning kedua ketika permainan berbaki 26 minit.

Leipzig melengkapkan kemenangan bergaya menerusi Marcelo Saracchi pada minit ke-83 yang menjaringkan gol pertama bersama pasukannya sejak berpindah dari pemenang Copa Libertadores, River Plate.

"Kami puas hati selepas menguasai permainan, prestasi pemain mengagumkan saya,” kata Pengarah Urusan Leipzig, Oliver Mintzlaff kepada Sky.

Dalam perlawanan awal, bintang penyerang Poland, Robert Lewandowski meletakkan Bayern di depan ketika permainan baharu masuk 150 saat selepas mendapat hantaran Joshua Kimmich dalam kotak penalti.

Dia kemudiannya menggandakan jaringan menerusi tandukan hasil sepakan sudut tiga minit selepas babak kedua bermula untuk jaringan kesembilan daripada lima perlawanan.

Coutinho yang dipinjam dari Barcelona menyempurnakan penalti pada pertengahan babak kedua sebelum melorongkan bola kepada Ivan Perisic untuk melengkapkan kemenangan Bayern pada minit ke-73 sekali gus melonjak dari tangga keempat ke tangga kedua Bundesliga.

Sementara itu, Bayer Leverkusen bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Lokomotiv Moscow dalam aksi Liga Juara Juara, Khamis lalu dengan menang 2-0 ke atas Union Berlin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:56 AM