PENYOKONG Borussia Moenchengladbach mempunyai cara tersendiri meriahkan stadium. FOTO AFP
PENYOKONG Borussia Moenchengladbach mempunyai cara tersendiri meriahkan stadium. FOTO AFP
AFP

BAGAIMANA anda ingin memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan jika tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium ataupun berada di sekitar perkarangan bangunan berkenaan?

Penyokong bola sepak di Jerman harus mempunyai cara inovatif untuk menaikkan semangat kelab mereka, dengan harapan saingan Bundesliga dapat diteruskan tanpa penonton bulan depan tatkala pandemik Covid-19 menghalang kehadiran penyokong ke stadium.

Liga Bolasepak Jerman (DFL) akan mengadakan perbincangan untuk membentangkan perancangan mereka bagi membolehkan saingan terulung di negara berkenaan bersambung semula 9 Mei ini selepas dihentikan pertengahan Mac lalu.

Ia dijangka diadakan dalam stadium tanpa penonton dan digelar sebagai ‘perlawanan hantu’ di Jerman.

Dengan pelbagai acara besar membabitkan kehadiran orang ramai ditangguhkan di Jerman sekurang-kurangnya sehingga 31 Ogos, DFL juga memerlukan kebenaran istimewa daripada Canselor Jerman, Angela Merkel.

Bagi mempersiapkan diri untuk penyambungan semula saingan, 18 kelab Bundesliga kembali berlatih selama tiga minggu dan penyokong di negara berkenaan menggunakan pelbagai cara untuk memberi sokongan tanpada duduk di tempat duduk penonton.

“Dengan harga 19 euro (RM90) penyokong Borussia Moenchengladbach boleh meletakkan gambar mereka di kadbod seterusnya diletakkan di kerusi tempat duduk penonton.

“Kami sudah mendapat 6,500 tempahan. Ia sangat mengejutkan dan kami tidak pernah menjangkakan perkara ini,” kata Pengerusi Fanprojekt Moenchengladbach (FPMG) Thomas Ludwig.

Pemain sayap Gladbach, Patrick Herrmann berkata, gambar penyokong yang tertera di tempat duduk penonton menaikkan semangat mereka untuk berlatih di Borussia Park.

Musuh mereka, Cologne juga mempunyai perancangan tersendiri jika saingan bersambung iaitu dengan menaikkan kain rentang dan bendera yang didermakan oleh penyokong.

“Pelbagai idea timbul bagaimana kami harus menghiaskan stadium bagi aksi perlawanan hantu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cologne, Alexander Wehrle.

Bagaimanapun, timbul kebimbingan dalam kalangan kelab, ahli politik dan polis, ketika perlawanan berlangsung penonton tetap berkumpul di luar stadium untuk memberi sokongan.

Salah satu cara yang akan dilakukan oleh kelab Denmark, FC Midtjylland, ialah mengubah tempat parkir kereta sebagai tempat menonton wayang pandu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 11:26 AM