Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (tengah diasak pemain Leipzig pada aksi Liga Juara-Juara di Budapest. FOTO AFP
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah (tengah diasak pemain Leipzig pada aksi Liga Juara-Juara di Budapest. FOTO AFP
AFP

Budapest: Liverpool mengatasi RB Leipzig, 2-0 dalam perlawanan pertama pertembungan 16 terakhir Liga Juara-Juara, di Budapest, pagi ini.

Skuad The Reds yang menguasai tempo permainan bagaimanapun memperoleh jaringan menarik pada awal separuh masa kedua oleh Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Kedua-dua jaringan dalam perlawanan itu diperoleh selepas kesilapan yang dilakukan pertahanan lawan, terbukti menentukan dan meninggalkan wakil Jerman berdepan tugas sukar dalam aksi timbal balik di Anfield pada 10 Mac.

Kemenangan itu memberikan harapan buat skuad kendalian Jurgen Klopp untuk tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Ia sekali gus menamatkan tiga kekalahan berturut-turut yang menyaksikan penyandang juara Inggeris itu ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu Manchester City dalam aksi Liga Perdana.

"Ia adalah perlawanan yang kami mahukan, ia adalah aksi yang kami perlukan malam ini," kata Klopp kepada BT Sport selepas perlawanan itu.

"Leipzig boleh menjadi ancaman yang cukup dahsyat. Cara mereka beraksi dalam Bundesliga mereka mampu mengubah pasukan, mereka mungkin bermain cara fizikal dalam semua perkara dan malam ini kami menguasai mereka dengan cara berbeza.

"Mereka mempunyai peluang mereka kerana kualiti yang mereka ada tetapi kami menguasai perlawanan jadi saya fikir kami berhak mendapat keputusan ini," katanya.

Aksi perlawanan pertama dipindahkan dari Leipzig ke ibu kota Hungary berikutan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di Jerman bagi membendung penularan Covid-19.

Di sebalik terpaksa beraksi di gelanggang lain, skuad kendalian Julian Nagelsmann pantas menyesuaikan diri dan hadir dengan reputasi gah memenangi empat perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri di mana mereka berada di kedudukan kedua di belakang Bayern Munich dalam saingan Bundesliga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:35 AM