Robert Lewandowski (kiri) meraikan jaringannya pada aksi separuh akhir berdepan Lyon. FOTO AFP
Robert Lewandowski (kiri) meraikan jaringannya pada aksi separuh akhir berdepan Lyon. FOTO AFP
AFP

ROBERT Lewandowski berusia 32 tahun hari ini ketika penyerang Bayern Munich itu berada di puncak prestasi karier dan hanya dua gol untuk mengatasi rekod 17 gol dihasilkan Cristiano Ronaldo dalam Liga Juara-Juara (UCL) menjelang aksi final menentang Paris Saint Germain.

Skuad The Munich menyanyikan lagu hari lahir kepada Lewandowski sebelum memulakan sesi latihan menjelang aksi kemuncak di Lisbon awal pagi Isnin ini.

Lewandowski mengharungi musim terbaik dalam karier profesionalnya ketika gol lewat menerusi tandukan dan jaringan ke-55 musim ini mengesahkan kemenangan 3-0 ke atas Lyon pada saingan separuh akhir, Khamis lalu.

Lewandowski adalah penjaring terbanyak UCL dengan 15 gol, hanya dua gol membayangi rekod Ronaldo yang dilakukan pada 2013/14 ketika di Real Madrid.

Selepas menjaringkan dua gol dan membantu menghasilkan dua lagi jaringan dalam kemenangan 4-1 Bayern ke atas Chelsea dalam kelompok 16 terakhir, Lewandowski berkata impiannya adalah memenangi UCL bukan mengatasi rekod Ronaldo.

"Saya fikir bagi setiap pemain Liga Juara-Juara adalah impian yang besar," kata Lewandowski yang menjadi sebahagian daripada skuad Dortmund yang tewas dalam final ke atas Bayern pada 2013.

Rakan sepasukannya, Thomas Mueller yang mencatat rekod 21 pembantu menghasilkan jaringan di Bundesliga musim lalu serta menolong kepada 34 gol liga yang dihasilkan Lewandowski pada 2019/20 memberitahu bintang Poland itu lebih banyak menghasilkan gerakan selain penyudah.

"Impiannya adalah apa yang membuatkan dirinya terkenal di seluruh dunia," kata Mueller.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:43 AM