MARIO Goetze (tengah) mengawal bola walaupun diasak pemain Porto.
MARIO Goetze (tengah) mengawal bola walaupun diasak pemain Porto.
AFP

Munich: Robert Lewandowski meledak dua gol awal pagi semalam apabila Bayern Munich gah melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara bagi kali keempat berturut-turut dengan membelasah FC Porto 6-1 pada suku akhir kedua.

Perlu mengatasi defisit dua gol selepas kekalahan mengejut 1-3 pada suku akhir pertama di Porto minggu lalu, Bayern menghasilkan persembahan menakjubkan pada babak pertama untuk meraih lima gol dan akhirnya menang 7-4 secara agregat.

“Ia terlalu mengagumkan,” ujar penjaring gol Thomas Mueller.

“Kadang kala lebih seronok bermain dalam tekanan dan ketinggalan. Kami semua amat berharap tapi tiada siapa meramalkannya.”

Lewandowski kini menyumbat 22 gol dalam semua pertandingan manakala Mueller, Jerome Boateng dan Thiago Alcantara turut menyumbat gol pada babak pertama yang dramatik dalam tempoh 26 minit.

“Ramai berasa kami tidak mampu melakukannya, tapi kami adalah FC Bayern Munich,” kata Lewandowski.

“Kami sedar kami perlu menekan lawan dari awal tapi mendahului lima gol pada babak pertama memang mengejutkan.”

Tempo perlawanan itu merudum selepas rehat sekali gus membolehkan kapten Porto, Jackson Martinez menjaringkan gol saguhati.

Porto berakhir dengan 10 pemain apabila pertahanan, Ivan Marcano meraih kad kuning kedua sejurus sebelum Xabi Alonso meledak gol menerusi sepakan percuma dan jurulatih mereka Julen Lopetegui turut disingkirkan daripada bangku simpanan.

“Babak pertama di sini menghancurkan impian kami, kami dihukum dan kini perlu bangkit,” jelas Lopetegui.

Jaringan itu menyamai rekod kekalahan Porto di laman lawan apabila mereka dibelasah AEK Athens 1-6 pada Piala Eropah 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:36 AM