RONALDINHO didapati bersalah kerana menggunakan pasport palsu. FOTO AFP
RONALDINHO didapati bersalah kerana menggunakan pasport palsu. FOTO AFP
AFP

LEGENDA Brazil dijangka dibebaskan pada 24 Ogos selepas lima bulan ditahan di Paraguay di atas tuduhan menggunakan pasport palsu, jelas sumber kehakiman kepada AFP.

Bekas pemain Barcelona, AC Milan dan Paris St-Germain itu ditahan bersama abangnya, Roberto d Assis Moreira pada 6 Mac lalu, dituduh memasuki Paraguay menggunakan pasport palsu.

Mereka berada sebulan di dalam penjara sebelum membayar ikat jamin AS$1.6 juta (RM6.7 juta) dan dibebaskan ke tahanan rumah di Hotel Palmaroga di pusat bersejarah di ibu negara Paraguay di Asuncion.

Hakim, Gustavo Amarilla menetapkan tarikh 24 Ogos untuk mendengar kes terhadap pasangan adik-beradik itu.

Pendakwa sudah menghantar cadangan kepada hakim yang akan menyaksikan Ronaldinho, 40, dikenakan denda AS$90,000 (RM377,955) untuk 'memperbaiki kerosakan imej' tapi dibenarkan pulang ke Brazil di mana beliau perlu hadir di mahkamah setiap tiga bulan sepanjang setahun.

Ronaldinho menafikan bahawa tidak tahu menahu mengenai pasport berkenaan adalah palsu.

Bagaimanapun, abangnya yang didakwa tahu bahawa pasport itu palsu, perlu membayar denda AS$110,000 (RM461,945) dan tampil di mahkamah setiap tiga bulan sepanjang tempoh dua tahun

Kedua-dua mereka tiba di Paraguay pada 4 Mac lalu tanpa berdepan sebarang masalah, dengan Ronaldinho yang juga pemenang Ballon d' Or 2005 dijadualkan terbabit dalam majlis berkaitan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Ronaldinho, dikenali sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, dengan membantu Brazil muncul juara Piala Dunia 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 9:53 AM