RONALDINHO (tengah) bersama abangnya, Roberto Assis (dua kanan) bakal dibebaskan selepas ditahan di Paraguay sejak Mac lalu. FOTO AFP
RONALDINHO (tengah) bersama abangnya, Roberto Assis (dua kanan) bakal dibebaskan selepas ditahan di Paraguay sejak Mac lalu. FOTO AFP
Agensi

RONALDINHO dijangka akan dibenarkan untuk kembali ke Brazil selepas lima bulan meringkuk dalam penjara di Paraguay dan di sebuah hotel.

Bekas bintang Barcelona dan AC Milan itu ditawar untuk dibebaskan serta tidak perlu melalui proses perbicaraan tetapi digantikan dengan denda wang tunai sebanyak £70,000 (RM383,824) susulan skandal memalsukan pasport.

Abangnya, Roberto de Assis Moreira juga dibenarkan untuk meninggalkan Paraguay jika hakim menerima cadangan pendakwaan baru membabitkan penggantungan hukuman penjara dua tahun dan didenda £85,000 (RM466,073).

Kedua-dua individu itu harus mengaku bersalah atas tuduhan memasuki negara ini dengan pasport palsu sebagai sebahagian daripada perjanjian yang disebut 'proses salida' di Paraguay, menurut laporan di negara Amerika Selatan itu.

Pembebasan Ronaldinho menamatkan tempoh lima bulan di Paraguay yang bermula Mac lalu dengan dipenjara selama sebulan sebelum dia dibenarkan berpindah ke hotel empat bintang, Hotel Palmogorga di ibu kota Asuncion bersama abangnya.

Legenda berusia 40 tahun itu menerusi satu temuramah bersama akhbar harian ABC Color pada hujung April lalu mendedahkan perkara pertama dia akan lakukan sebaik dibebaskan adalah untuk mencium ibunya, Miguelina.

Akhbar sama berkata, pihak pendakwa raya meminta hakim, Gustavo Amarilla untuk membebaskan Ronaldinho daripada melalui proses perbicaraan selain meminta menggantung hukuman penjara ke atas abangnya.

ABC Color berkata, Ronaldinho dijangka akan dikenakan hukuman penjara dua tahun jika peguamnya menolak perjanjian pendakwaan.

Pasukan peguam bintang bola sepak itu yang sering menegaskan Ronaldinho tidak menyedari bahawa dia melanggar undang-undang, belum memberikan sebarang komen rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 12:33 PM