RONALDINHO mengakui tidak pernah menjangkakan akan dipenjarakan. FOTO AFP
RONALDINHO mengakui tidak pernah menjangkakan akan dipenjarakan. FOTO AFP
Agensi

BUAT kali pertama Ronaldinho membuka mulut mengenai kehidupannya di penjara dan bagaimana dia menghabiskan masanya dengan bermain bola sepak serta memenuhi permintaan untuk menurunkan tandatangannya.

Legenda Brazil itu berkata, dia berdoa supaya dapat mencari jalan penyelesaian berhubung kesalahan menggunakan pasport palsu ketika memasuki Paraguay yang menyaksikannya kemudian diheret ke dalam penjara.

Bekas pemain Barcelona dan AC Milan berusia 40 tahun itu mengakui dia sama sekali tidak pernah menjangkakan segala perkara itu berlaku ke atas dirinya serta abangnya, Roberto de Assis Moreira.

"Kami amat terkejut apabila mendapati dokumen kami tidak sah. Bermula daripada detik itu, keutamaan kami adalah untuk memberi kerjasama dengan pihak mahkamah," katanya kepada media.

Menerusi temuramah di Hotel Palmaroga, lokasi di mana dia diletakkan di bawah pengawasan pihak berkuasa sejak keluar dari penjara 7 April lalu, Ronaldinho berkata: "Saya percaya kepada takdir."

"Saya sentiasa berdoa bagi membolehkan segala-galanya baik-baik sahaja dan dengan izin Tuhan, segala-galanya akan selesai tidak lama lagi.

Saya tidak pernah menjangkakan akan melalui situasi seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 10:42 PM