Wan Ahmad (tengah) bertemu Wan Kuzri. FOTO Ihsan FAM
Wan Ahmad (tengah) bertemu Wan Kuzri. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad mengakui beliau turut memainkan peranan mempengaruhi adiknya Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal supaya 'terbang' ke Malaysia bagi mengikuti sesi latihan bersama skuad bawah-19 (B-19) negara.

Walaupun peranan yang dimainkan itu tidaklah besar namun beliau gembira adiknya itu dengan rela hati mahu menabur bakti bersama skuad B-19 negara dengan tekad mahu mencipta kejayaan di Uzbekistan nanti.

Beliau berkata, dorongan utama Kuzri mahu bermain bersama skuad B-19 adalah kehendak sendiri dengan melihat ia adalah platform terbaik untuk meningkatkan lagi kebolehan diri di pentas antarabangsa.

"Ada sedikit (peranan) ketika perbualan bersama dengan ayah namun lebih kepada dorongan diri sendiri yang terpanggil untuk bermain dengan negara," katanya ketika ditemui selepas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM), hari ini.

Wan Ahmad Fayshal yang ditemani Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengurus skuad B-19 Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar meluangkan masa hampir setengah jam meninjau sesi latihan skuad B-19.

Selain itu, beliau tidak mahu hanya adiknya diberikan tumpuan memandangkan terdapat pemain lain dalam skuad B-19 yang turut berkebolehan dan berbakat dalam membantu pasukan meraih kejayaan.

"Tumpuan harus diberikan kepada semua kerana adik saya hanya salah seorang yang menyertai latihan seterusnya perlu bersaing secara sihat," katanya.

Sementara itu, berkaitan Uzbekistan yang kini menguatkuasakan perintah berkurung kali kedua, beliau berkata KBS memantau situasi berkenaan dan akan mendapatkan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:36 PM